AM

31.2 juta kenderaan di Malaysia sehingga 31 Dis 2019

01/04/2020 06:23 PM

PUTRAJAYA, 1 April -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 31.2 juta unit kenderaan bermotor di Malaysia sehingga 31 Dis 2019, dengan purata pertambahan kenderaan baharu melebihi 1 juta setiap tahun.

Selain itu, bilangan pemandu yang dilesenkan menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus daripada 15.2 juta orang pada 2018, kepada 16.8 juta pada 2019, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, Malaysia, sempena sambutan Hari JPJ ke-74 hari ini.

Pada 2019, JPJ merupakan salah satu daripada agensi yang mengutip hasil negara tertinggi, dengan kutipan sebanyak RM4.32 bilion.

Kutipan hasil itu dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan ia akan digunakan oleh kerajaan, untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya, menurut Kementerian Pengangkutan.

"Pertambahan jumlah kenderaan dan bilangan pemandu yang dilesenkan serta peningkatan jumlah hasil itu, menunjukkan bahawa pengangkutan jalan merupakan medium perhubungan penting dan semakin berkembang di negara ini.

"Perhubungan ini bukan sahaja melibatkan urusan sosial masyarakat seharian, namun turut mengambil kira aspek perdagangan dan ekonomi negara," menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan tidak dapat meraikan sambutan ulang tahun JPJ seperti lazimnya, berikutan ancaman wabak COVID-19 selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sehingga 14 April ini.

Tema sambutan tahun ini ialah 'Digitalisasi Melestari Integriti' di mana digitalisasi perkhidmatan dan penguatkuasaan, merupakan agenda utama JPJ pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. 

"Selain integriti sebagai objektif utama, produktiviti dan kepuasan pelanggan merupakan fokus utama JPJ melalui agenda digitalisasi. Ini telah dibuktikan melalui pelaksanaan ‘JPJ e-Bid’ serta inisiatif digital lain yang telah dilaksanakan pada tahun yang lalu," kata Kementerian Pengangkutan.

Pada tahun ini juga, JPJ akan terus mengorak langkah untuk melestarikan digitalisasi melalui pelaksanaan ‘e-Testing’ dan ‘Door to Door e-Renewal’ serta beberapa inisiatif lain.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan