Oleh Syamsiah Sahat
KUALA LUMPUR, 5 April -- Tiada yang lebih menggembirakan seorang bekas pesakit COVID-19 apabila mengetahui plasma darahnya boleh membantu merawat pesakit lain yang dijangkiti pandemik yang mencetuskan keresahan masyarakat di seluruh dunia.
Bagi Reza Huzairi Zainudin, 41, mengetahui plasma darahnya boleh membantu menyembuhkan pesakit COVID-19 yang lain, disambut dengan rasa syukur dan bangga kerana tidak semua plasma bekas pesakit boleh digunakan.
"Allah gantikan kesedihan saya pada 2020 ini dengan rasa terharu dan bangga kerana berpeluang membantu pesakit-pesakit COVID-19 melalui pendermaan plasma darah ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Menjadi penderma sulung negara tanggal 2 April lalu, plasma darah Reza Huzairi didapati cukup ampuh, sihat dan sesuai serta memenuhi kriteria yang dapat membantu rawatan pesakit COVID-19 yang berada dalam keadaan kritikal.
"Sepanjang proses pendermaan plasma darah selama sejam di Pusat Darah Negara pada 2 April lalu, saya banyak bertanya pada doktor mengenai rawatan COVID-19 menggunakan plasma darah mereka yang pernah terkena jangkitan ini.
"Tidak semua plasma boleh didermakan kerana penderma mestilah sihat daripada sebarang penyakit kronik, tidak mengambil sebarang ubat pada jangka masa panjang dan mempunyai kesihatan yang optimum, saya datang untuk membuat ujian dan bersyukur plasma darah saya sesuai untuk didermakan," katanya.
Menurut beliau, dengan berat badannya 65 kilogram, hanya 500 mililiter plasma darahnya boleh diambil pada satu-satu masa, namun ia boleh digunakan untuk membantu rawatan beberapa orang pesakit.
Justeru, beliau merancang untuk kembali menderma dalam tempoh dua minggu akan datang selagi dibenarkan oleh doktor supaya lebih ramai pesakit mendapat manfaat.
Reza Huzairi berkata plasma darah yang didermakan itu akan dijadikan serum untuk dimasukkan ke dalam darah pesakit COVID-19 yang kritikal bagi membantu mereka melawan virus maut berkenaan.
Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa kesan optimum diperoleh apabila ia digunakan oleh orang yang mempunyai jenis darah sama dengannya.
Oleh sebab itu, beliau berharap lebih ramai bekas pesakit COVID-19 yang sihat tampil untuk menderma plasma darah mereka bagi membantu merawat pesakit yang sedang berjuang melawan virus itu.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa pesakit yang sudah pulih sudi membantu dengan menyumbang darah untuk kajian penyelidikan wabak terbabit.
Katanya, terdapat beberapa kes pesakit yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang ingin menyumbang bagi tujuan itu, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat saringan terlebih dahulu sama ada terdapat jangkitan kuman lain seperti Hepatitis C dan sebagainya.
Berkongsi mengenai jangkitan wabak itu, Reza Huzairi yang juga pesakit kes ke-46 berkata beliau dijangkiti virus COVID-19 ketika gelombang kedua.
Naib Presiden Kanan, Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad itu berkata pengalaman ditempatkan di dalam wad isolasi Hospital Sungai Buloh (HSB) tidak akan dilupakan seumur hidupnya apabila dikunci 24 jam selama 11 hari tanpa boleh bertemu isteri dan tiga anak lelakinya.
"Tidak pernah saya membayangkan saya akan berada di dalam situasi itu. Perasaan tertekan itu bukan main-main ...dalam resah memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan tentang isteri dan anak-anak di rumah.
“Juga kepada semua staf saya ...bimbang jika virus yang ada pada saya ini menjangkiti mereka pula. Saya hanya bergantung kepada Allah SWT ketika itu,” katanya.
Reza Huzairi berkata selama tempoh 11 hari ‘terkurung’ itu, beliau tetap meneruskan kerja pejabat seperti biasa walaupun berada di dalam wad agar perasaan tertekan itu tidak terus menyelubungi dirinya.
“Pesakit perlu bersemangat dan fokus untuk cepat pulih walaupun sesekali tubuh saya terasa amat letih kerana antibodi sedang bekerja. Jika itu terjadi, saya perlu berehat. Alhamdulillah kesihatan saya okay dan tidak mempunyai simptom yang teruk," katanya.
Sebagai tanda pengharagaan dan terima kasih kepada warga KKM khususnya doktor, jururawat dan petugas kesihatan di HSB, Reza Huzairi berpesan kepada rakyat Malaysia supaya bersabar dalam keadaan sekarang dan mengingatkan agar semua mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tidak perlu keluar dari rumah jika tiada keperluan yang amat penting. Kita sebagai rakyat Malaysia pasti boleh melakukannya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial