PUTRAJAYA, 6 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pakej rangsangan tambahan ini akan dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan, katanya semasa mengumumkan pakej tersebut, di sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin, antara langkah-langkah tambahan yang diambil ialah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.
Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah antara RM600 hingga RM1,200 mengikut jumlah bilangan pekerja.
Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhnajaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Jan 2020 dan mendaftar dengan PERKESO.
Perdana Menteri berkata kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Kerajaan sebelum ini telahpun mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang antara lain peruntukan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion untuk membantu PKS termasuk usahawan mikro, serta menambah saiz dana Kemudahan Semua Sektor Ekonomi kepada RM6.8 bilion.
Namun, katanya, beliau menerima maklum balas daripada persatuan PKS dan perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.
Justeru itu, Menteri Kewangan telah mengadakan sesi libat urus bersama PKS untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi dan hasilnya kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengumumkan PRIHATIN Tambahan.
Muhyiddin berkata, khusus bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan, kerajaan mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion.
“Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.
“PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini,” katanya.
Senarai PKS mikro yang layak akan diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Selain itu, beliau juga menyarankan organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 agar menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020, seperti yang telah diberikan oleh pihak bank.
“Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka,” kata Muhyiddin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial