AM

COVID-19: PM Muhyiddin minta rakyat terus cekal dan patuhi PKP

06/04/2020 08:07 PM

PUTRAJAYA, 6 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya terus cekal, kuat dan bersemangat selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi bersama-sama mengatasi wabak COVID-19. 

Beliau yakin dugaan yang dibawa virus itu bukanlah sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh semua rakyat di negara ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia, kita perlu ingat bahawa kita tidak mampu berdaya tahan secara individu, dan (tetapi) secara bersama-sama kita cukup kuat untuk mendepaninya dalam tempoh tidak menentu ini.

“Mari kita perkukuhkan azam kita dan kekal komited dalam perjuangan kita untuk memerangi COVID-19. Mari kita kekal berada di landasan dan mematuhi semua arahan dilaksanakan di bawah PKP. Ia adalah sukar, tetapi bukannya mustahil. Kekal kuat, kekal sihat, insya-Allah kita akan berjaya. Ingatlah, selepas hujan, matahari muncul semula. Dan hari-hari yang lebih baik dalam kembali semula,” katanya.

Muhyiddin berkata demikan semasa mengumumkan pakej rangsangan tambahan bernilai RM10 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meringankan beban mereka ketika ini.

PKP fasa pertama dilaksana kerajaan sejak 18 hingga 31 Mac dan fasa kedua pula mulai 1 sehingga 14 April ini dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau memahami bebanan yang ditanggung rakyat setelah tiga minggu berkurung di rumah dalam mematuhi PKP.

Beliau menyedari rakyat terhalang dalam melakukan rutin harian selain ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian, pelbagai aktiviti kreatif dan telatah dikongsikan rakyat di media sosial bagi menghilangkan rasa bosan ketika berada di rumah. 

“Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu. Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang,” katanya.

Jelasnya, rakyat mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian ini, justeru beliau yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani manusia dengan sesuatu yang tidak boleh ditanggung.

Mengakhiri ucapannya, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan