KUCHING, 6 April -- Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta rakyat Sarawak tidak membuat tuduhan melulu berhubung jangkitan COVID-19 melibatkan satu kluster yang dikenal pasti sebagai Kluster RHB di negeri itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata ada dakwaan yang tular di media sosial menyatakan kluster itu bermula daripada seorang individu yang enggan menjalani kuarantin sehingga menyebabkan satu keluarga meninggal dunia disebabkan jangkitan itu.
“Ingin saya nyatakan di sini, wabak ini tidak memilih bangsa dan tidak memilih agama, apa yang telah berlaku adalah satu perkara yang tidak diingini dan semua orang tidak mahu dijangkiti wabak ini.
“Tidaklah perlu untuk kita menguar-uarkan bahawa kematian atau wabak itu berlaku ekoran daripada seseorang atau daripada bangsa mana dan menyebabkan perasaan yang kurang enak,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata sesiapapun tidak akan pergi bekerja mahupun bertemu orang lain sekiranya mengetahui lebih awal mereka telah dijangkiti wabak itu.
“Jadi harapan saya kepada rakyat Sarawak untuk tidak membuat tuduhan melulu kerana tiada siapa pun mahu dijangkiti dengan pandemik ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial