KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) menyenaraikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang ‘lahir’ dari pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak COVID-19 bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat (AS) and Ashley Bloomfield dari New Zealand.
Dalam laman webnya semalam, CGTN menyatakan ia “menobatkan” Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.
Menurut CGTN, beberapa bulan lepas, tidak ramai yang mengenali Dr Noor HIsham, 56, dan dua lagi tokoh berkenaan, namun kini mereka menjadi sumber maklumat dan fakta yang paling "dipercayai" bagi pandemik itu di negara mereka.
“Setiap kali saya melihat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, saya merasa yakin. Beliau menjadi menjadi tempat bergantung bagi ramai rakyat Malaysia," menurut CGTN yang memetik wartawan portal tempatan sebagai berkata demikian, sambil menambah bahawa Dr Noor Hisham juga "mempunyai wajah yang dipercayai".
Menurut CGTN, Fauci, 79, merupakan Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS (NIAD) manakala Bloomfield, 54, Ketua Pengarah Kesihatan di New Zealand.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham penghormatan yang diberikan tersebut.
Dr Adham dalam muat naik terbaharu di Facebooknya berkata: “Satu penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada bidang perubatan negara apabila Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan diiktiraf oleh China Global Television Network sebagai antara tiga doktor terbaik dunia menangani situasi COVID-19.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial