IPOH, 16 April -- Tiga daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Muallim dan Kampar diisytihar sebagai zon hijau atau sifar kes COVID-19 susulan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau bagaimanapun berkata ini tidak bermakna penduduk di ketiga-tiga daerah berkenaan bebas untuk keluar.
“Ini adalah satu berita baik di tiga daerah ini. Jadi kita mengharapkan daerah-daerah ini kekal menjadi zon hijau dan supaya dengan (gelaran) zon hijau ini pula boleh merebak (meluas) ke daerah-daerah lain di seluruh negeri Perak. Kita mahu Perak bebas dari COVID-19 dan akhirnya seluruh negara bebas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Faizal menerima sumbangan barangan keperluan untuk petugas barisan hadapan antaranya peralatan perlindungan diri (PPE) daripada syarikat Techlab Security Sdn Bhd yang diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak Dr Ding Lay Ming.
Ahmad Faizal turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Puncak Emas Infra Sdn Bhd untuk Tabung COVID-19 dan Ipoh Kitchen Central.
Sementara itu, Dr Ding meminta masyarakat bersama-sama berusaha dalam memastikan Kuala Kangsar, Muallim dan Kampar kekal sebagai zon hijau.
“Memandangkan (tiga daerah) tiada kes baharu sepanjang 14 hari lepas namun kita mengharapkan orang ramai terus kekal duduk di rumah, menjaga jarak sosial terutama ketika berada di tempat terbuka dan kerap mencuci tangan,” katanya.
Ketika ditanya pemberita sama ada bekalan PPE bagi melindungi petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19 di negeri ini mencukupi, beliau berkata selalunya ia mencukupi antara dua minggu atau dua bulan mengikut jenis-jenis PPE selain turut berharap sumbangan daripada pelbagai pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial