LANGKAWI, 21 April -- Tidak terjangkau oleh akal, Pantai Chenang yang menjadi lokasi tumpuan pelbagai kegiatan sukan air, bersantai, serta merakam gambar kenangan di sini boleh 'terkubur' begitu sahaja, apabila suasana menjadi lengang tiba-tiba, tanpa kehadiran pelancong atau sebarang aktiviti.
Lokasi yang sentiasa meriah dengan hiruk-pikuk pelancong kini kelihatan ‘kosong’ berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19, sejak 18 Mac lepas.
Pantai Chenang boleh dijadikan gambaran terbaik kepada situasi dihadapi industri pelancongan Langkawi yang begitu terkesan susulan penularan wabak itu.
Bercakap kepada Bernama, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA) Ardi Bahador berkata 220 orang ahli persatuan yang berkhidmat sebagai ‘duta kecil pelancongan’ hilang punca pendapatan, dan kini buntu memikirkan masa depan mereka.
"Rata-rata ahli persatuan merupakan pemandu pelancong sepenuh masa, pemandu pelancong bebas, dan juga bergaji harian. Ini bermakna sumber pendapatan mereka bergantung kepada kehadiran pelancong. Situasi sekarang benar-benar memberi tekanan, ada ahli persatuan cuba untuk mencari pendapatan sampingan seperti menjadi pemandu e-hailing, dan ada yang membuat jualan dalam talian, tetapi masih tidak dapat menampung kehidupan yang semakin mencabar," katanya.
Ardi berkata ahli persatuan bersyukur kerajaan ada memberi bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong yang berdaftar kerana impak wabak COVID-19 kepada industri pelancongan, namun tetap berharap ada bantuan lain serta sesuai masih boleh disalurkan.
"Dalam kalangan ahli persatuan, ada yang sudah terima bantuan one-off itu, ada juga yang masih dalam proses. Selain itu, kami berharap bantuan kerajaan negeri kepada pemandu pelancong turut diluaskan lagi bukan sahaja kepada pemandu pelancong anak negeri sahaja, kerana ada dalam kalangan ahli persatuan sudah lama bermastautin di Kedah," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata wabak COVID-19 memberi impak besar kepada hampir semua penduduknya, bukan sahaja dari sektor pelancongan, malahan ekonomi.
Menurutnya Langkawi sudah dikategorikan sebagai ‘zon hijau’ kerana pesakit terakhir COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, tetapi sektor pelancongan masih tidak dapat ‘bergerak’ dalam tempoh PKP ini.
"Industri pelancongan menyumbang 60 peratus kepada ekonomi pulau ini, jadi apabila kehadiran pelancong merudum dengan mendadak, situasi menjadi sangat mendesak. Ada kira-kira 150 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), dengan tidak ada pelancong masuk, kita akan nampak risiko pengangguran.
"Turut terkesan ‘beach boy’, sebelum ini mereka boleh raih RM100 hingga RM300 sehari bergantung kepada musim, tetapi sekarang langsung tak ada pendapatan. Dalam situasi COVID-19 di seluruh dunia ketika ini, saya tidak nampak cara pelancong antarabangsa boleh datang dalam tempoh tiga bulan, dalam tempoh enam bulan mungkin ada,” katanya.
Melihat kepada penilaian itu, Hezri berkata LADA sedang mengumpul maklum balas pemain industri untuk mencari kaedah terbaik menerusi pengenalan pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong domestik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial