KOTA BHARU, 21 April -- Kira-kira 30 daripada 48 pelajar antarabangsa yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), memilih untuk tinggal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akibat pendamik COVID-19.
Mereka dari 18 buah negara termasuk Indonesia, Senegal dan India, yang sedang melanjutkan pelajaran dari peringkat ijazah hingga Doktor Falsafah (PhD), juga enggan mengambil risiko dijangkiti virus COVID-19, jika pulang ke negara masing-masing.
Pelajar terbabit juga, menyifatkan pihak universiti dan kerajaan Malaysia menjaga kebajikan mereka dengan baik, sepanjang PKP berlangsung bermula 18 Mac lepas.
Sanjay Kumar, 37, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Industri Asas Tani yang mengakui tiada masalah dengan PKP berkata, beliau menggunakan masa PKP dengan memberi tumpuan menyiapkan kertas kajian akademik.
“Tidak dinafikan saya juga rindu pada keluarga, namun atas kesedaran wabak COVID-19 ini boleh berada di mana-mana, saya memilih untuk tinggal di kampus daripada merisikokan diri jika pulang ke India,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Samsidine Aidara, 33, pelajar Sarjana jurusan Keusahawan dan Perniagaan UMK Kampus Jeli dari Senegal berkata, walaupun lebih sebulan kuliah secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan, mereka tetap diberi tugasan dan kuiz, supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Guru sambilan bahasa Perancis di UMK itu berkata, dalam tempoh PKP beliau menggunakan kaedah mesyuarat dalam talian, menerusi telesidang video untuk terus berhubung dengan rakan sekuliah dan pensyarah terlibat.
Sementara itu Ainnur Shahirah Hashim, 21, dari Fakulti Keusahawan dan Perniaggaan turut memilih untuk terus kekal berada di negeri ini bersama rakan-rakan, dari pulang ke negara asalnya di Indonesia.
“Saya berharap semua lapisan masyarakat khususnya pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus, untuk terus membantu menyokong usaha kerajaan dengan terus kekal berada di kampus masing-masing, bagi sama-sama memerangi penularan wabak COVID-19, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lebih 80,000 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, tinggal di kampus dan kolej sepanjang PKP dilaksanakan, dan ia tidak termasuk dengan mereka yang tinggal di rumah sewa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial