BUKIT MERTAJAM, 22 April -- Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan itu dan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok di sini, sebelum menyamun pengguna jalan raya dalam kejadian awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata dalam kejadian pada 6.10 pagi itu, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Kulim, Kedah menjadi mangsa kedua-dua lelaki terbabit.
"Dalam kejadian itu, mangsa bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech sedang memandu kereta dari rumahnya di Taman Kota Permai 2, berhenti pada sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lembu kerana dua lelaki memakai vest kuning tertera logo Polis Diraja Malaysia yang mengarahkan kenderaannya berhenti.
"Sebaik memberhentikan kereta dan menurunkan cermin tiba-tiba seorang daripada lelaki itu cuba menarik rantai emas dipakai mangsa dan pada masa sama suspek mencederakannya menggunakan objek tajam," katanya kepada Bernama di sini malam ini.
Beliau berkata mangsa yang terkejut terus memecut keretanya menuju ke Hospital Kulim kerana mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan dan menerima rawatan tiga jahitan.
Katanya usaha mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menyalurkan kepada polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial