AM

Kekalkan kecantikan Sungai Melaka - Ketua Menteri

24/04/2020 09:49 PM

MELAKA, 24 April -- Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali hari ini menyeru semua pihak termasuk orang ramai supaya mengekalkan kecantikan Sungai Melaka yang kelihatan bersih dengan airnya berwarna kehijauan, seperti tular dalam media sosial ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau berkata, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan PKP oleh kerajaan mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan manusia.

Justeru, beliau menyeru supaya semua pihak mencintai dan memelihara alam sekitar serta sungai untuk kepentingan generasi akan datang.

"Keadaan ini (Sungai Melaka bersih) berikutan pertamanya tiada aktiviti seperti sebelum penularan COVID-19 berlaku di persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP; kedua di hulu Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu.

"Ketiga segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti biasa di sepanjang sungai itu dan keempat-empat bot persiaran menggunakan bahan bakar petrol dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca pencemaran kepada air sungai," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Bernama hari ini melaporkan Sungai Melaka, yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan PKP dan gambar ‘kehijauan’ sungai itu menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet.

Beliau berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi pelancongan menarik di Melaka ini dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, malah pada masa yang akan datang.

"Kita tahu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, tiada kemasukan pelancong dari luar ke negeri Melaka, malah penduduk tempatan juga tidak boleh bebas bergerak.

"Sebab itu, saya sudah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Melaka supaya menjadikan agenda meningkatkan tahap keindahan, kebersihan dan keceriaan kawasan pentadbiran masing-masing sebagai keutamaan," katanya.

Beliau turut berharap negeri Melaka dan Bandaraya Melaka khususnya dapat muncul sebagai negeri atau bandar yang paling bersih di negara ini seperti yang pernah dicapai sebelum ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan