AM

Dua warga Myanmar ditahan cuba lolos kawat duri PKPD

28/04/2020 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 April  -- Bosan terkurung di rumah, dua lelaki Myanmar cuba meloloskan diri melalui kawat duri untuk keluar dari kawasan rumah mereka di Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tindakan mereka yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu, bukan sahaja menyebabkan mereka ditahan polis malah seorang daripada lelaki itu turut cedera apabila terjatuh dan tersangkut di kawat duri itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata dua lelaki yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan pada 6 petang semalam kerana cuba keluar dari kawasan itu.

"Cubaan lolos itu gagal setelah seorang daripadanya terjatuh dan tersangkut di kawat duri itu dan cedera di tangan, kaki serta belakang badan. Dia dibawa ke Hospital Selayang dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini.

Arifai berkata hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan alasan bosan serta panas kerana berasa terkurung di rumah sewa mereka berikutan PKPD dikenakan di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kira-kira 60 peratus daripada lebih 3,000 penduduk yang berada dalam kawasan PKPD itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini.

Kawasan Selayang Baru dikenakan PKPD sejak 25 April sehingga 3 Mei. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan