AM

Hari pertama PKPB: Peningkatan kenderaan hampir 30 peratus di ibu negara

04/05/2020 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei -- Jumlah kenderaan di jalan raya sekitar ibu negara meningkat hampir 30 peratus pagi ini, hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berbanding pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata susulan PKPB, kesemua sekatan jalan raya Op COVID-19 di lapan lokasi juga telah dihentikan.

“Kita mendapat arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur untuk menamatkan sekatan jalan raya di sekitar ibu negara selain tiada penutupan jalan pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya kini memberi fokus kepada operasi penguatkuasaan trafik termasuk Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan. 

“Di samping itu, kita juga akan membantu dalam membuat pemantauan tempat orang ramai berkumpul atau tempat meletak kenderaan,” katanya.

Pagi tadi tinjauan Bernama mendapati banyak kenderaan menghala ke pusat bandar tetapi keadaan trafik terkawal. 

Tinjauan di beberapa stesen transit aliran ringan (LRT) juga mendapati pengguna pengangkutan awam itu mematuhi garis panduan dan mengikut arahan PKPB. 

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai esok tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan