AM

Hentikan penjualan telur penyu dalam talian, bantu kelangsungan penyu

13/05/2020 02:34 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Mei  -- Taktik penjualan telur penyu secara dalam talian patut disekat dan dihentikan demi memastikan kelangsungan haiwan itu yang semakin pupus.

Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr Mohd Uzair Rusli berkata meskipun tiada sebarang akta menyeluruh yang mampu menghalang orang ramai daripada memakan telur penyu namun penjualan secara terus ini mampu merencatkan program pemuliharaan haiwan marin itu.

Jualan secara dalam talian akan menyebabkan permintaan dan jualan meningkat serta tidak terkawal, yang memungkinkan penjual mencari telur penyu tanpa had sedangkan penyu perlu menghadapi survival sukar untuk terus hidup iaitu daripada 1,000 anak penyu, hanya seekor yang akan terus membesar.

“Memang betul makan telur penyu ini jadi tradisi di sesetengah negeri, tetapi keadaan sekarang berubah dengan populasi dunia meningkat, kita tak boleh benarkan tradisi makan telur penyu ini berkembang.

“Populasi penyu tidak meningkat sebagaimana populasi manusia meningkat, jadi apabila kita ambil telur penyu sudah jadi tidak 'sustainable' (lestari). sekarang sudah ada sumber alternatif protein, seperti telur ayam, itik dan puyuh dari ladang,” katanya yang turut mengharapkan sokongan orang ramai untuk bersama-sama membantunya menghentikan tindakan itu.

Tinjauan Bernama di beberapa rangkaian jualan secara dalam talian popular mendapati telur penyu dijual sekitar RM7 sebiji dan ia mendapat sambutan ramai, malah telur berkenaan didakwa diambil dari pantai Terengganu.

Sementara itu, exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya kini giat berusaha untuk meminda Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) yang membenarkan telur penyu selain dari penyu belimbing boleh dijual.

Setakat ini, hanya telur penyu belimbing yang dilarang dijual dan pelbagai pihak turut dilibatkan dalam usaha itu termasuk Jabatan Perikanan Negeri dengan mengadakan bengkel untuk mengkaji semula enakmen itu supaya sesuai dengan situasi semasa pendaratan penyu di Terengganu.

“Suatu ketika dulu pendaratan penyu belimbing sangat sedikit kerana itulah penjualan telur penyu jenis ini dilarang. Dalam tiga tahun yang terakhir, tiada lagi pendaratan penyu belimbing yang direkodkan, sebab itulah kita melihat enakmen ini perlu kepada pindaan.

“Tidak dinafikan pendaratan penyu dari spesis lain seperti penyu agar, karah dan lipas juga menunjukkan penurunan,” ujarnya yang turut menyokong sebarang usaha pemuliharaan penyu. 

Pengarah Perikanan Negeri Zawawi Ali berkata sepatutnya penjualan telur penyu perlu mendapat kebenaran daripada pihaknya dan hanya anggaran 0.9 hingga 1.2 peratus sahaja telur yang dijual secara terbuka.

“Langkah untuk selamatkan kelangsungan penyu telah dibuat iaitu dengan mewartakan kawasan pendaratan kepada pihak perikanan sepertimana yang dilakukan oleh Lang Tengah Turtle Watch dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk membeli telur penyu dan dieram di hatcheri berdaftar milik mereka… ini dapat memastikan telur dieram dan meringankan beban Jabatan Perikanan membeli telur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan