IPOH, 19 Mei -- Penantian pasangan YouTuber suami isteri sensasi yang menggunakan nama 'Sugu Pavithra' untuk mendapatkan gaji daripada laman YouTube sejak Januari lepas berakhir hari ini.
S. Pavithra, 28, datang ke Pejabat Pos Besar Perak di sini dari Sungai Siput untuk membuat tuntutan bayaran gaji tertunggak itu sebaik menjadi rakan YouTube (YouTube Partner) dengan penuh kegembiraan dan berbekalkan beberapa perancangan untuk keluarga tersayang.
Ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong di sini berkata gaji sulung sebagai YouTuber itu antaranya akan digunakan untuk membeli pakaian baharu buat dirinya serta ahli keluarga yang lain.
"Kami bukan orang senang. Sekarang dah dapat gaji walaupun tak banyak seperti yang heboh orang bincang di media sosial, tetapi saya dan suami sangat gembira kerana lama menunggu dengan penuh sabar.
"Saya akan gunakan untuk beli pakaian, membuat rawatan rambut dan membeli barangan kelengkapan sembahyang di rumah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Selain itu, Pavithra dan suami M. Sugu, 29, menafikan bahawa mereka telah membuka beberapa akaun Facebook dan Instagram atas nama 'Sugu Pavithra' sejak 16 Mei lepas, sebaliknya setakat ini hanya mempunyai akaun YouTube.
"Saya berharap kawan-kawan (warganet) dapat membantu laporkan kepada pihak berkuasa perkara ini kerana saya bimbang ada yang akan mengambil kesempatan," katanya.
Dalam pada itu, Pavithra berterima kasih kepada Bernama kerana menjadi media pertama menyiarkan laporan temu ramah bersamanya pada 8 Mei lalu sehingga membuatkan pelanggan saluran YouTube 'Sugu Pavithra' meningkat daripada 160,000 kepada 550,000 daripada pelbagai kaum setakat pukul 4.00 petang ini.
Malah, menurut wanita yang petah berbahasa Melayu dan lemah lembut itu, selepas laporan Bernama, beliau banyak dihubungi syarikat atau orang perseorangan untuk memberi sumbangan bahan masakan, makanan selain peralatan elektrik, namun katanya apa yang dimiliki sekarang telah memadai.
Pavithra berkata lebih membanggakan adalah mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa hadiah termasuk tripod yang menjadi perangsang untuk dia dan suami terus berkongsi video memasak.
"Selepas tersiar temu ramah dengan Bernama saya mula sibuk, setiap hari berpuluh-puluh panggilan dan ada juga stesen radio dari India yang mahu temu ramah saya, kerana suami pemalu. Hidup kami kini berubah dan saya terpaksa menyediakan satu buku untuk susun jadual temu ramah atau kunjungan," katanya.
Pavithra berkata disebabkan itu, dia dan suami tidak dapat berkongsi klip video memasak dengan kerap kerana hanya mempunyai satu telefon bimbit dan risau terdapat panggilan masuk jika sedang membuat rakaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial