JOHOR BAHRU, 9 Jun -- Cuaca panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kes tangkapan ular direkodkan meningkat di Johor sejak Mac hingga bulan lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor Datuk Yahaya Madis berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya telah menerima 768 panggilan kecemasan khidmat khas menangkap ular.
“Pada bulan lepas sahaja, panggilan kecemasan yang diterima berhubung perkara itu meningkat daripada 220 panggilan pada Mac, kepada 269 panggilan sepanjang April dengan kebiasaannya membabitkan ular sawa batik dan ular berbisa seperti tedung selar.
“Kami dapati antara faktor peningkatan kes membabitkan tangkapan ular ini ialah berikutan keadaan cuaca yang terlalu panas, selain faktor sampingan seperti habitat mereka diganggu, diceroboh atau dimusnahkan.
“Biasanya ular suka tempat lembap dan sejuk untuk berlindung malah biasanya ia akan ‘menumpang’ di dalam bilik tidur, bawah katil, dalam almari, kabinet dapur dan rak kasut,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan empat jentera Fire Response Vehicle (FRV) jenis Mitsubishi Triton di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.
Sementara itu, menyentuh tentang jentera pacuan empat roda yang diterima berkenaan, Yahaya berkata ia dapat membantu pihaknya bertindak dalam standard masa yang ditetapkan iaitu kurang daripada 10 minit untuk sampai ke lokasi kejadian.
Menurut Yahaya, Johor merupakan sebuah negeri yang luas, iaitu banyak kawasan perkampungan tradisional dan tempat-tempat yang sukar dilalui oleh jentera besar.
“Jadi, jentera yang baharu ini memudahkan pihak bomba untuk memasuki kawasan jalan kampung, berbukit dan kawasan sempit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial