AM

KPDNHEP teliti inisiatif rangsang industri francais

10/06/2020 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sedang meneliti beberapa inisiatif bagi merangsang aktiviti peruncitan termasuk perniagaan francais yang terjejas, ekoran pandemik COVID-19.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid dalam kenyataan hari ini berkata, usaha juga dilakukan kementerian berkenaan bagi merancakkan kembali aktiviti perdagangan dan pengedaran dalam negara, selain meningkatkan kembali keyakinan pengguna untuk berbelanja.

“Penularan wabak ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti perniagaan francais dalam negara, malah merencatkan usaha yang dirancang kerajaan, bagi mengembangkan perniagaan francais tempatan ke pasaran luar.

“Justeru, KPDNHEP sedang memperhalusi pelaksanaan program dirancang, dan kementerian berharap seluruh pemain industri akan terlibat sama memberi sokongan dan pandangan, dalam sesi libat urus yang akan dilaksanakan," katanya semasa merasmikan Program Webinar Francais Siri 1/2020: Pengurusan Krisis Francais semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Program menerusi aplikasi Zoom yang dianjurkan kali pertama oleh Persatuan Francais Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL) KPDNHEP itu, disertai 213 peserta.

Menurut Rosol, hasil tinjauan kesan pengoperasian francais semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh BPFJL dalam kalangan pemain industri menunjukkan, industri itu mengalami kemerosotan hasil pendapatan ketara.

“Penurunan tertinggi yang dilaporkan adalah sebanyak 70 hingga 80 peratus daripada subsektor makanan dan minuman (F&B), serta pendidikan.

“Selain itu, isu kekurangan pekerja, kekurangan bahan mentah disebabkan masalah logistik dan kos operasi yang terpaksa ditanggung seperti bayaran sewa serta utiliti, merupakan antara cabaran dihadapi sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan,” katanya.

Justeru beliau berkata, wujud keperluan untuk sektor industri dan kerajaan bekerjasama, dalam mengenal pasti langkah baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang wajar dipatuhi, bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi semula dengan selamat.

“Matlamat kerajaan ketika ini ialah memastikan syarikat kembali semula beroperasi ke tahap optimum, dari segi pengeluaran dan penggunaan tenaga kerja seperti sebelum krisis, dengan kadar segera,” katanya yang turut mengharapkan kerjasama semua pihak, dalam memastikan kejayaan usaha yang dirancang bagi menyesuaikan normal baharu dalam industri francais.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan