KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Sejumlah 11 kes import dilaporkan hari ini membabitkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital di beberapa negeri.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu perkongsian di Facebook rasmi beliau berkata daripada jumlah itu, empat kes masing-masing di Hospital Tumpat, Kelantan dan Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Melaka, masing-masing satu kes.
“Kesemua telah disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa mulai 10 Jun.
“Setelah keputusan sampel didapati positif COVID-19, mereka telah dimasukkan ke dalam wad di hospital. Kesemua mereka tidak bergejala dan stabil. Kes-kes ini dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian,” katanya.
Mengikut garis panduan WHO, kes disahkan COVID-19 dan tidak bergejala lebih dari 10 hari adalah tidak mempunyai risiko transmisi kepada orang lain dari tarikh disahkan positif.
Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan semasa sidang media harian COVID-19, jumlah kes baharu positif hari ini kembali meningkat kepada dua angka dengan 31 kes baharu, melibatkan 11 kes import dan 20 kes penularan tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial