AM

Tidak puas hati bil elektrik tinggi, pengguna boleh adu kepada TTPM

16/06/2020 07:48 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun -- Pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang melambung tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Isu bil elektrik yang tinggi semasa PKP memang dalam perhatian kita. Kita sedar ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” kata Rosol kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya TTPM telah menerima dua tuntutan termasuk satu berkaitan kenaikan luar biasa bil elektrik yang difailkan pada 5 Jun lepas.

Isu kenaikan bil elektrik hangat dibincangkan oleh rakyat, khususnya menerusi media sosial, yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana terlalu tinggi berbanding sebelumnya.

TTPM yang ditubuhkan pada 15 Nov 1999 menyediakan saluran alternatif kepada penggguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan