AM

Belia Felda Chini ceburi aktiviti penternakan kerana minat mendalam

29/06/2020 07:41 AM

Oleh Mohd Adli Shahar

PEKAN, 29 Jun  -- Minat mendalam terhadap penternakan haiwan membuatkan seorang belia dari Felda Chini 2 dekat sini, sanggup menolak tawaran bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas.

Mohd Faiz Ikhwan Salleh, 27, berkata, beliau menolak tawaran itu bagi terus menternak pelbagai haiwan  di ladang kelapa sawit peninggalan Allahyarham ayahnya, yang kini menjana pendapatan lumayan buatnya.

Graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu berkata, beliau membeli sedikit demi sedikit haiwan ternakan berkenaan bermula pada 2018 dan ketika ini memiliki 14 ekor lembu, 25 ekor kambing, 80 ekor itik daging dan 120 ekor itik telur.

“Idea untuk memulakan aktiviti penternakan ini bermula pada 2016, apabila keluarga meminta saya untuk menjaga ayah saya yang sakit, yang seterusnya menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja di sebuah syarikat perladangan.

“Oleh kerana tiada pekerjaan dan tidak begitu sibuk menjaga arwah ayah saya pada ketika itu selain minat dalam bidang ini, saya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti penternakan ini dengan modal keseluruhan kira-kira RM5,000, bagi mula membeli haiwan ternakan dan mendirikan kandang,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya.

Beliau berkata, pelanggannya yang kebanyakannya adalah penduduk di kawasan Chini, biasanya akan berurusan dengannya untuk membeli itik daging dan telur itik.

Katanya, seekor itik daging  dijual dengan harga kira-kira RM50 seekor manakala sebiji telur itik dan telur itik yang sudah diproses menjadi telur masin, dijual dengan harga masing-masing 70 sen dan RM 1 sebiji.

Ternakan matang lain pula katanya, dijual secara berkala dengan harga RM3,000 sehingga RM3,500 bagi lembu dan RM1,000 sehingga RM1,800 bagi kambing.

Mohd Faiz berkata, bagi menambah baik dan memaksimumkan hasil pendapatannya, beliau sentiasa memikirkan bagaimana untuk menurunkan kos operasi hariannya.

Katanya, selain mencampurkan makanan palet dan membiarkan ternakannya meragut rumput bagi lembu dan kambing, beliau turut membeli dan merebus beras hancur bagi diberikan kepada itik daging.

“Ini menjadikan kos keseluruhan bagi makanan palet bagi semua ternakan adalah kira-kira RM40 sehari.

“Bagi menjimatkan kos juga, saya menggunakan kayu yang diambil dari kawasan berdekatan bagi membina dan memperbaiki kandang dan pagar,” katanya.

Mohd Faiz yang beberapa kali mengikuti kursus berkaitan penternakan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga berkata, beliau bersedia memberikan panduan dan tips kepada belia lain terutama di kawasan Chini, yang ingin mencuba aktiviti penternakan seperti dirinya.

“Minat terhadap aktiviti penternakan ini memang telah ada dalam diri saya sejak dulu lagi dan saya bersedia berkongsi minat ini, dengan mereka yang ingin mencuba,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan