IPOH, 29 Jun -- Laluan kontra dibuka di Km283.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan kira-kira tiga kilometer sebelum susur keluar Simpang Pulai susulan kemalangan membabitkan dua lori di kawasan itu, pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Zakaria Abd Rahman berkata, pembukaan laluan kontra sepanjang dua kilometer itu bagi kerja membersihkan besi buruk yang bertaburan di atas jalan selepas sebuah treler membawa muatan bahan itu terbalik dalam nahas jalan raya itu.
Katanya dalam kemalangan kira-kira 9 pagi itu, treler berkenaan dari Sungai Petani, Kedah ke Shah Alam, Selangor terbalik setelah melanggar selepas gagal mengelak sebuah lori jenis Mitsubishi yang tiba-tiba memasuki laluannya.
"Lori treler tersebut telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori Mitsubishi sebelum terbalik merintangi jalan, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan akibat kemalangan itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap PLUS ketika dihubungi memaklumkan setakat pukul 5.30 petang ini, laluan trafik ke arah selatan masih sesak sepanjang 13km manakala laluan ke arah utara perlahan sepanjang lima kilometer.
PLUS turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan papan tanda di lokasi kejadian kerana kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial