KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) institusi pengajian tinggi tempatan sesi 2020/2021 bagi membincangkan usaha memartabatkan mahasiswa, memperkasa pendidikan serta hal berkaitan kebajikan mahasiswa.
Menerusi catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata pertemuan kira-kira satu jam itu merupakan peluang baginya beramah mesra dan bertukar pandangan dengan lima Yang Dipertua Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Turut hadir, presiden MPP daripada Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU), Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia (DRB-HICOM U) dan Help University.
“Saya mendengar dengan teliti setiap butiran agenda serta inisiatif yang dibawa dan berpandangan ada beberapa perkara yang dibincangkan boleh diketengahkan kepada kementerian atau pihak bertanggungjawab yang berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat Muhyiddin itu turut disertai Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Pembangunan KPT, Rosli Yaakob.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial