AM

PM Muhyiddin serah Felo Perdana kepada anggota Kabinet

09/07/2020 08:37 AM

PUTRAJAYA, 8 Julai  -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan peserta Felo Perdana, kepada menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Felo Perdana 2020 melibatkan seramai 82 belia, di mana 58 peserta adalah graduan, manakala 24 adalah siswa.

Antara menteri Kabinet yang hadir pada majlis penyerahan itu di sini ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah; dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sim Why Jean, 25, yang terpilih sebagai seorang daripada empat felo kepada Perdana Menteri berkata, penyertaan ke program berkenaan akan digunakan sebaik-baiknya, untuk menimba ilmu dan mendapat pendedahan tentang tadbir urus kerajaan.

“Kita diberi peluang untuk didedahkan kepada anggota Kabinet yang berlainan, jadi ia memberi perspektif baharu, dari segi menguruskan polisi dan dasar.

“Saya merasakan ia dapat membantu bukan sahaja dari segi peribadi, tetapi juga pembangunan negara pada masa akan datang,” kata graduan jurusan perundangan dari University of London itu.

Pelajar tahun akhir jurusan psikologi di Help University Farihin Ufiya Mohd Azeem, 23, yang merupakan felo kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau, berminat dalam mempelajari aspek pembangunan polisi kerajaan.

“Kami perlu membentangkan polisi di akhir penempatan kami dan kami akan turut belajar mengenai Parlimen, belajar dengan pegawai-pegawai menteri mengenai pengurusan organisasi kementerian dan sebagainya,” katanya.

Roshan Miranda, 24, yang merupakan felo kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau ingin mempelajari dengan lebih lanjut mengenai hubungan luar Malaysia dan kedudukan negara dalam pertubuhan-pertubuhan dunia.

“Saya bersama-sama dua lagi felo di bawah Menteri Luar ingin bekerjasama untuk menerapkan mengenai hubungan diplomasi dalam generasi muda di peringkat universiti dan sekolah menengah,” kata pelajar semester akhir jurusan perundangan di Saito University, Petaling Jaya.

Felo yang terpilih akan ditempatkan bersama mentor selama enam bulan bermula esok.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, seramai 533 orang peserta telah menyertai program Felo Perdana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan