AM

Penstrukturan semula tambah baik perkhidmatan bas panorama Melaka

10/07/2020 06:47 PM

JASIN, 10 Julai (Bernama) -- Pengangkutan bas awam Bas Panaroma menerusi anak syarikat kerajaan negeri Panorama Sdn Bhd (PMSB) akan distruktur semula bagi menambaik baik mutu perkhidmatan antaranya dengan pembelian beberapa bas menjelang Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya,  Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata kebanyakan bas yang beroperasi setakat ini disewa dan rancangan pembelian bas itu dilihat langkah tepat bagi membolehkan anak syarikat kerajaan negeri memiliki aset bas sendiri.

"Kami dalam proses untuk membeli satu atau dua bas baharu dalam masa terdekat ini dan sedang meneliti serta berbincang dengan pihak bank yang boleh meluluskan pinjaman bagi perkara berkenaan.

"Ia memandangkan kos pembelian bagi sebuah bas dianggarkan RM500,000 hingga RM600,000," katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Kampung Ayer Merbau, di sini, hari ini.

Terdahulu,  kira-kira 14 agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Jasin dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut turun padang dalam program itu bagi membolehkan rakyat menyalurkan aduan bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil.

Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata pihaknya juga akan melihat kembali dan mengkaji semula perjanjian bersama syarikat konsesi bas yang disewa itu sebelum mengambil keputusan memperbaharui semula perjanjian itu atau tidak.

Katanya, setiap pembekal memaparkan harga sewa pajak yang berbeza dan pihaknya akan mengkaji semula sama ada ia efektif atau sebaliknya supaya dapat menggelakkan berlaku pembaziran serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna di negeri ini.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga akan meneliti semula 23 laluan Bas Panorama bagi memastikan kemudahan itu benar-benar dimanfaatkan sekali gus mengelakkan berlakunya pembaziran terutama laluan yang dikenal pasti kurang penumpang.

"Ada empat atau lima laluan sahaja yang benar-benar beri keuntungan, namun ada sesetengah laluan yang tidak berbaloi kerana kurang penumpang kerana ia melibatkan jarak yang jauh serta kos bahan api selain itu beberapa laluan kami turut memberi perkhidmatan secara percuma kepada rakyat sebagai tanggungjawab sosial," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan