SUNGAI SIPUT, 21 Julai -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengenal pasti individu yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata pihak JKN Perak bagaimanapun masih lagi mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tular di media sosial sejak semalam.
"Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian COVID-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemindahan gajah liar di Kampung Jalong di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial seorang wanita yang memakai tag berwarna merah jambu menunjukkan masih dalam tempoh kuarantin di rumah, makan di sebuah kedai di bandar Meru Raya sehingga mendapat kritikan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata pihaknya telah melakukan operasi sanitasi nyahcemar kuman di premis terlibat dan beberapa kedai dalam deretan sama.
Katanya, operasi selama satu jam setengah yang bermula pada 2.30 petang tadi melibatkan seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru.
"Fokus operasi sanitasi nyahcemar kuman adalah di tempat-tempat yang melibatkan banyak sentuhan seperti meja dan kerusi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial