AM

Nasib belia luar bandar, pedalaman Sabah, Sarawak perlu diutamakan - MBM

22/07/2020 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu kerajaan memberi perhatian terhadap masalah pengangguran dalam kalangan belia di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang agak meruncing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Borneo MBM merangkap Naib Presiden MBM, Azuwan Marjan, berkata kerajaan perlu memastikan angka sebenar belia yang menganggur supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan berjumlah RM1.5 bilion menerusi Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu 300,000 pencari kerja di negara ini.

"Belia yang berkemahiran sama ada bekerja dengan majikan ataupun bekerja sendiri ternyata begitu terkesan kepada perlumbaan pemasaran digital yang sudah tentu memberikan kesan yang sangat mendalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azuwan berkata kerajaan juga diharap dapat memperkenalkan lebih banyak pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengesan belia-belia yang berkemahiran rendah agar mereka dapat menyertai Program Latihan dan Penempatan yang memberikan kursus kemahiran jangka pendek di institusi terpilih. 

“Peningkatan kemahiran dalam industri penting seperti elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi sudah tentu memberikan impak yang besar kepada belia di kawasan pedalaman yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan kurang tenaga pengajar khsususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan