KUALA LUMPUR, 22 Julai -- MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) telah membuka permohonan untuk pelbagai skim bantuan dan inisiatif di bawah 10 sektor kecil kreatif selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Nehara (PEJANA).
Pengerusinya Mohd Naguib Razak berkata skim dan inisiatif tersebut meliputi penciptaan kandungan (termasuk filem, kandungan penyiaran dan penstriman dan permainan video), muzik, fesyen, seni persembahan, seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif.
Pemohon boleh memanfaatkan pelbagai skim dan inisiatif seperti geran acara langsung, geran pemasaran digital, skim padanan pelaburan serta pinjaman mudah faedah rendah.
“Langkah ini akan diperkemaskan lagi menerusi program Digital Velocity Industri Kreatif MyCreative yang merangkumi latihan pemasaran dan promosi digital, bantuan penyambungan serta khidmat nasihat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM255 juta bagi merangsang pertumbuhan industri kreatif menerusi program dan pinjaman mudah di bawah PENJANA, pada 5 Jun lalu.
Mohd Naguib berkata MyCreative mengakui mandat ini membawa tanggungjawab besar untuk melaksanakan langkah-langkah ini dengan cara yang paling cepat lagi berkesan sambil terus menambah nilai pada industri, menjamin masa depan industri kreatif dan memastikan suara industri ini kedengaran.
“Peranan secara keseluruhan MyCreative adalah untuk membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital agar dapat kekal relevan dan berdaya saing dalam era norma baru.
“Di samping sokongan kewangan secara langsung kepada perniagaan kreatif, MyCreative juga ingin memberikan sokongan secara tidak langsung di bawah Program Digital Velocity Industri Kreatif, dalam bentuk nasihat, latihan dan rangkaian agar pengamal industri kreatif dapat menggabungkan dimensi digital atau dalam talian dengan lebih baik bagi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata MyCreative juga telah mengatur kolaborasi dengan sektor swasta, bermulakan dengan Google, Facebook dan Yes, untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui latihan kaedah pengedaran dan promosi digital, pembangunan model perniagaan baharu serta penyambungan atau 'connectivity’.
Pemohon boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari http://www.mycreative.com.my/ untuk pengumuman penuh dan maklumat tambahan mengenai Inisiatif Pemulihan CENDANA boleh didapati di laman web https://www.cendana.com.my/.
MyCreative merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial