KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berharap agar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijadikan sebagai venue pusingan terakhir dalam kalendar perlumbaan MotoGP musim ini.
Dorna Sports yang merupakan pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, masih belum mengumumkan status perlumbaan MotoGP di Malaysia, Argentina dan Thailand selepas kalendar perlumbaan musim ini terpaksa dirombak susulan pandemik COVID-19.
Beliau berkata jika pusingan terakhir MotoGP berlangsung di SIC ia akan bertambah menarik dengan kedudukan pasukan SRT yang berpangkalan di Malaysia dan sedang memburu kejohanan dunia.
"Harapan saya agar pelumba dapat membuat sesuatu yang ajaib. Saya percaya SIC akan buat yang terbaik untuk memastikan Malaysia boleh menganjurkan pusingan terakhir Kejuaraan MotoGP,” kata Razlan kepada Bernama, hari ini.
Kejuaraan MotoGP 2020 hanya melibatkan dua kategori iaitu Moto2 dan Moto3 dalam pusingan pertama pada GP Qatar Mac lalu, sebelum Dorna Sports mengambil keputusan mempertandingkan kesemua kategori termasuk kelas premier MotoGP pada GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol pada bulan ini.
Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo mengungguli carta kedudukan MotoGP dengan kutipan 50 mata, hasil kejayaan menjuarai GP Sepanyol pada 19 Julai dan GP Andalusia, dua hari lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial