KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.
Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.
Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.
"Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara," katanya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok.
Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.
Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan.
Najib meninggalkan mahkamah pada 7.34 malam, bersama peguamnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial