AM

Panjat pagar mahkamah: Seorang lelaki ditahan - Polis

28/07/2020 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memanjat pagar untuk masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd hari ini.  

Lelaki yang memakai baju berwarna merah jambu itu ditahan anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan di sekitar kawasan itu kira-kira pukul 6.15 petang, dan dia kemudiannya dilihat dibawa ke pondok pengawal untuk disoal siasat sebelum dibawa ke balai polis dengan kereta peronda.

Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu adalah antara ratusan penyokong ahli Parlimen Pekan itu yang tiba di mahkamah seawal pukul 5.45 pagi untuk mendengar keputusan hari ini. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shamugamoorthy Chinniah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

”Suspek berusia 33 tahun itu cuba memanjat pagar masuk ke perkarangan mahkamah dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Najib, 67, bekas perdana menteri, didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan