AM

PELITUP MUKA DIWAJIBKAN DI KAWASAN PENJARAKAN SOSIAL TIDAK DAPAT DIPRAKTIKKAN - KP KESIHATAN

29/07/2020 08:50 PM

PUTRAJAYA, 29 Julai  -- Peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka  dikenakan  terhadap kawasan awam yang penuh sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipraktikkan,  kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata pelitup muka digunakan dengan meluas oleh pengguna pengangkutan awam dan kerajaan kini melihat untuk menguatkuasakan peraturan ini secara berperingkat.  

“Mulanya, pelitup muka (diperkenalkan)  untuk pengangkutan awam. Sekarang kami melihat kepada tempat awam terutamanya kawasan awam yang terlalu  sesak.

Bukannya tempat awam seperti tempat parkir kereta yang ada penjarakan sosial. Isunya apabila tiada penjarakan sosial dalam kawasan awam yang penuh sesak,” kata beliau dalam satu sesi libat urus bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga sedang melihat tempoh tangguh selama sebulan  sebelum  menguatkuasakan  peraturan ini  sepenuhnya bagi memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka 

“Yang miskin dan memerlukan mesti juga diberikan pelitup muka.  Jadi, sekiranya setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka maka mungkin selepas PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kami pasti akan menguatkuasakannya,” kata beliau. 

Dr Noor Hisham berkata selain daripada memakai pelitup muka, orang ramai perlu juga mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan COVID-19.

Pada 23 Julai lepas, kerajaaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan ramai dan pengangkutan awam akan diwajibkan bermula 1 Ogos ini. 

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah menyaring seramai 949,141 individu sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Januari, dan daripada jumlah itu 8,943 orang disahkan  positif.

"Jumlah kes sembuh pula adalah 8,607 atau 96.24 peratus manakala jumlah kematian akibat COVID-19 ialah 124," katanya.

Katanya hampir separuh kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif.

"Sebanyak 4,559 kes positif dikesan dari PUI manakala 3,375 kes adalah daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling.

Sehingga kini KKM turut merekodkan 751 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 258 kes dikesan hasil daripada aktiviti surveilan," katanya.

Wabak maut yang bermula di Wuhan, China pada Disember tahun lalu, sehingga kini telah menjangkiti 16.49 juta individu seluruh dunia dan mengakibatkan 654,327 kematian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan