EKONOMI

UCT akan bina kemudahan pembuatan di Batu Kawan

30/07/2020 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Ultra Clean Holdings Inc (UCT), pemaju dan pembekal subsistem kritikal yang tersenarai di NASDAQ Amerika Syarikat akan membina kemudahan pembuatan berkeluasan 300,000 kaki persegi di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemudahan itu dijadual memulakan pembinaan pada suku ketiga 2020 yang berpotensi memberi pekerjaan kepada 650 individu dalam tempoh lima tahun akan datang dalam bidang pengeluaran, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan kualiti.

 Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek itu akan menjadi penghubung kepada industri elektrik dan elektronik yang telah kukuh di Malaysia.

“Ia akan turut meningkatkan legasi negara sebagai destinasi pelaburan ideal di rantau ini yang menawarkan persekitaran perniagaan mampan bagi memenuhi strategi pelaburan menyeluruh pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MITI dan agensi-agensinya kekal komited untuk meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi tinggi, nilai tambah tinggi dan berasaskan pengetahuan di negara ini.

“Malaysia telah mewujudkan asas kukuh bagi syarikat pengilangan bernilai tinggi. Industri semikonduktor terus memacu pertumbuhan dengan menyokong percambahan 5G and IoT (Internet Pelbagai Benda),” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, dengan perkembangan dan kemajuan pesat industri itu, Malaysia dijangka memanfaatkan peluang sedia ada dan berada dalam kedudukan baik sebagai pusat pembuatan berteknologi tinggi di Asia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UCT Vijay Chinnasami berkata syarikat itu berbangga menjadi rakan kerajaan dalam usaha mengembangkan kedudukannya di peringkat global sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan strategik syarikat itu.

“Kemudahan terkini itu akan memastikan kesinambungan perniagaan, membolehkan kami memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan tempatan dan global serta memanfaatkan peluang pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan