AM

Polis buka kertas siasatan video tular pengawal keselamatan dipukul

31/07/2020 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai  -- Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipukul dengan sebatang kayu di tempat letak kereta dekat sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

“Kejadian dipercayai melibatkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka dan polis sedang menyiasat punca kejadian serta menyeru pihak yang terlibat supaya segera tampil untuk membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom (016-2014334) atau Pegawai Penyiasat Kanan DSP Stephen Ganeson (016-376 7390) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Hari ini, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan