AM

Penghadang lut sinar pisahkan MP, kurangkan risiko jangkitan COVID-19

03/08/2020 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos  -- Dalam usaha mewujudkan jarak pemisah dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, penghadang lut sinar dipasang di antara tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pemasangan penghadang itu juga membolehkan sebahagian ahli Parlimen yang sebelum ini duduk di tempat pegawai di sebelah kiri dewan, dapat duduk semula di blok utama Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun masih terdapat sebahagian ahli Yang Berhormat yang perlu duduk di tempat duduk pegawai di sebelah kiri dan kanan, dan kerana hanya sebahagian penghadang lut sinar yang dapat dipasang dalam tempoh terdekat ini.

“Oleh demikian saya memohon kesabaran ahli Yang Berhormat sehingga perkara ini dapat diselesaikan,” katanya sambil menjelaskan semua ahli Parlimen dijangka dapat duduk di blok utama Dewan Rakyat pada minggu depan selepas kesemua penghadang lut sinar itu siap dipasang.

Azalina berkata pemasangan penghadang lut sinar itu diharapkan dapat memberi keselesaan dan kemudahan seperti yang dinikmati ahli Parlimen sebelum ini.

Ketika berucap sebelum sesi pertanyaan bagi jawab lisan itu, Azalina turut mengingatkan kewajipan ahli Parlimen untuk memakai pelitup muka pada setiap masa di Dewan Rakyat dan hanya dibenarkan membuka alat pelindung diri tersebut ketika hendak berucap. 

“Ahli Yang Berhormat hendaklah menarik (keluar) penghadang (lut sinar) semasa duduk di dalam dewan untuk memastikan jarak pemisah antara ahli Yang Berhormat dan tiada kontak rapat antara ahli Yang Berhormat,” katanya.

Azalina turut mengingatkan ahli Parlimen agar berhati-hati ketika menarik atau menolak penghadang tersebut memandangkan pemasangan alat itu hanya untuk sementara waktu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan