AM

Lindungi premis haram: Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari

12/08/2020 01:27 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos  -- Empat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari berkaitan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor. 

Turut direman tujuh hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa. 

Perintah tahanan reman bagi kelima-lima individu berkenaan bermula hari ini sehingga Selasa (18 Ogos) dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini. 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 

Semalam, keempat-empat penguat kuasa MBSA - tiga bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi di Shah Alam - ditahan di ibu pejabat SPRM di sini selepas hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Empat penguat kuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah pada kira-kira 8.40 pagi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Isu berkenaan menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan