KUALA LUMPUR, 17 Ogos -- Suasana di Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar keputusan kes remaja dituduh membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, sunyi seketika selepas Hakim Datuk Azman Abdullah mengakhiri penghakimannya hari ini dengan ucapan yang mengundang sebak dalam kalangan yang hadir.
“Saya mendoakan roh yang meninggal (dunia) dicucuri rahmat oleh Allah SWT, menjadi ahli syurga, begitu juga ibu bapa mereka,” kata hakim dalam nada sebak.
Suasana mahkamah yang diselubungi dengungan suara tiba-tiba sepi sejurus mendengar ayat penyudah Azman yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke atas remaja tersebut selepas didapati bersalah atas semua 23 pertuduhan.
Terdahulu, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili remaja lelaki yang kini berusia 19 tahun itu, berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua pihak.
“Anak guam saya dengan merendah diri memohon maaf kepada orang yang terlibat atas kesukaran dan kesulitan yang dilalui sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung sejak tiga tahun lalu,” katanya semasa rayuan.
Beliau berkata anak guamnya bertegas bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu dan menafikan sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, hakim berkata adalah lebih baik bagi peguam tersebut menghujahkan perkara berkenaan di Mahkamah Rayuan semasa rayuan didengar.
“Saya hanya menyatakan kehendak anak guam dan mendapat arahan untuk memfailkan rayuan. Seperti mana kehendak dan keputusan mahkamah saya akur,” kata peguam itu.
Mohd Haijan turut memaklumkan semasa di penjara, anak guamnya telah mengikuti kelas-kelas dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas inisiatif sendiri.
Katanya remaja itu merupakan anak kedua daripada lima beradik dan ibunya merupakan ibu tunggal.
Peguam itu berkata bapa remaja lelaki tersebut meninggal dunia semasa pesalah bawah umur berkenaan berada dalam tahanan reman di penjara.
“Saya difahamkan bahawa ibunya berniaga baju secara dalam talian dengan pendapatan RM2,000 sebulan,” kata peguam itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan N. Joy Jothi.
Menurut pertuduhan pindaan, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial