KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 Sept ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.
"Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Ismail Sabri juga berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.
Katanya aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM, yang sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial