MELAKA, 20 Ogos -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menjadi tenaga pelatih utama bagi mengendalikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang masih dalam perancangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata langkah itu bagi memastikan tenaga kerja sedia ada digunakan sebaiknya dan ia akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita sedang memperhalusi skop pembentukan program baharu tersebut, lebih merangkumi semua kaum, paling utama adalah untuk memahami sejarah, patriotisme dan menjadi pemimpin masa depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka, di sini, malam ini.
Menurutnya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum perancangan berkenaan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.
Pada majlis itu, seramai 31 orang terdiri daripada ahli akademik dan profesional menerima watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial