KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menyasarkan untuk menjangkau lebih sejuta orang menerusi program kesedaran pelanggan di media sosial - #BUKANEXTRA yang julung kali diadakan.
Presidennya Loh Guat Lan berkata ini penting memandangkan kadar penembusan insurans hayat kekal tidak berubah pada 54 peratus sejak lima tahun lepas.
Sehubungan itu, beliau menyifatkannya sebagai penting bagi industri untuk terus mendidik masyarakat khususnya generasi muda membabitkan keperluan insurans perlindungan diri dalam perancangan kewangan masing-masing.
Beliau berkata, pada masa ini pemilik utama insurans hayat itu adalah kalangan mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas.
Justeru, terdapat peluang besar bagi industri itu untuk meningkatkan pemilikan insurans dalam golongan lebih muda.
“Secara purata, hampir 20 peratus daripada mereka yang mempunyai insurans hayat adalah yang berusia 30 tahun dan ke bawah dengan sebahagian besar polisi itu dibeli oleh ibu bapa masing-masing dan bukannya pihak millenial.
“Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk terus berusaha lebih lagi bagi menggalakkan segmen ini memanfaatkan inisiatif membelinya ketika masih sihat dan muda serta pada premium terendah," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini, hari ini.
Loh berkata industri insurans itu telah menetapkan kadar penembusan sebanyak 75 peratus menjelang 2020 berbanding kadar semasa 54 peratus yang membuktikan masih ketinggalan dan memerlukan banyak usaha bagi melonjakkannya.
Beliau berkata, pertumbuhan insurans hayat juga dipacu oleh pemilikan yang pelbagai dan jika ini tidak diambil kira, kadar penembusan itu berkurangan kepada 41 peratus.
“Daripada jumlah itu, hanya empat peratus isi rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah mempunyai insurans tersebut.
"Hakikatnya, daripada 41 peratus penduduk yang mempunyai insurans, sebanyak 90 peratus tiada perlindungan mencukupi untuk insan tersayang," katanya.
Mengulas pandemik COVID-19, beliau berkata keadaan itu telah meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keperluan untuk mendapatkan perlindungan.
"Walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan, kami dapati aktiviti insurans pada April pulih kepada 48 peratus berbanding tahun lepas dan seterusnya meningkat kepada 85 peratus pada Jun dan kembali normal pada Julai.
"Ini bukannya dari segi nilai tetapi aktiviti yang mana ramai orang masih membelinya walaupun dalam jumlah kecil," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mark O'Dell berkata tidak dinafikan bahawa COVID-19 turut memberi impak kepada industri itu yang menyaksikan premium perniagaan baharu susut sebanyak 12 peratus bagi separuh pertama tahun ini.
"Walaupun tidak membuat sebarang unjuran, kami sememangnya memantau keadaan itu dengan teliti. Bagaimanapun, kami menjangkakan keadaan akan menjadi lebih baik dalam suku ketiga dan keempat," katanya.
Mengulas kempen #BUKANEXTRA, O'Dell berkata ia dijalankan kira-kira enam minggu mulai hari ini sehingga 6 Oktober depan.
Menurutnya, sasaran kempen itu adalah kalangan belia, profesional yang masih bujang atau belum berkahwin, pasangan baru berkahwin serta keluarga muda berusia di bawah 35 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial