DUNIA

Indonesia gesa 'penghantaran balik sukarela' Rohingya

10/09/2020 01:17 PM

JAKARTA, 10 Sept --  Indonesia pada Rabu mengulangi pentingnya penghantaran balik pelarian Rohingya bagi menyelesaikan masalah kemanusiaan yang sedang mereka hadapi, menurut agensi Anadolu.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-53, Menteri Luar Retno Marsudi menjelaskan Indonesia, walaupun menerima sementara hampir 400 pelarian Rohingya yang terkandas di pantai Acheh beberapa bulan lalu, Jakarta menyokong "penghantaran balik sukarela" kumpulan minoriti Muslim itu ke Myanmar.

"Penghantaran balik adalah penyelesaiaan ideal bagi mengakhiri penderitaan masyarakat Rohingya yang sering menempuh perjalananan berbahaya ketika merentasi laut,” katanya.

Marsudi membincangkan rancangan penghantaran balik dengan rakan sejawatannya dari Myanmar dan Setiausaha Agung ASEAN, dengan berkata beliau "menggesa penghantaran balik sukarela dalam keadaan yang selamat dan bermaruah."

Negara-Negara ASEAN, tambahnya, harus bekerjasama dalam mengadili jenayah lintas negara kerana pelarian Rohingya terdedah dengan penculikan dan pemerdagangan manusia.

Rohingya, yang digambarkan oleh PBB sebagai masyarakat yang paling teraniaya di dunia, telah berhadapan ketakutan serangan yang meningkat sejak puluhan orang terbunuh dalam keganasan komunal pada 2012 di  bahagian barat Myanmar, Rakhine.

Menurut Amnesty International, lebih daripada 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh setelah pasukan keselamatan Myanmar melancarkan tindakan keras terhadap komuniti minoriti Muslim itu pada Ogos 2017, sehingga menyebabkan jumlah mereka di Bangladesh melebihi 1.2 juta.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 Muslim Rohingya telah dibunuh oleh pasukan tentera Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Lebih daripada 34,000 Rohingya juga dibakar, manakala lebih dari 114,000 yang lain dipukul, kata laporan OIDA yang bertajuk Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience.

Seramai 18,000 wanita dan gadis Rohingya diperkosa oleh tentera dan polis Myanmar dan lebih daripada 115,000 rumah Rohingya dibakar sementara 113,000 yang lain dirosakkan, tambah laporan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan