KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes COVID-19 di dalam negara meningkat dengan mendadak.
Muhyiddin berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
"Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa COVID-19 di dalam negara, malam ini.
Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.
Justeru, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuat kuasa agar penularan wabak COVID-19 dapat dikawal.
Muhyiddin memberi gambaran situasi pandemik COVID-19 secara global yang masih menular secara aktif tidak terkecuali terjadi di negara ini.
Katanya kes harian COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
"Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.
Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan, Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 pada ketika ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial