AM

Masjid dititah anjur solat hajat mohon kesembuhan segera Al-Sultan Abdullah

24/09/2020 01:47 PM

KUANTAN, 24 Sept -- Semua masjid di Pahang dititah mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan Tahlil serta doa selamat bagi mendoakan kesembuhan segera buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), di ibu negara.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya majlis itu diadakan selepas solat Maghrib hari ini.

"Tengku Hassanal juga berkenan supaya solat hajat bagi mendoakan kesembuhan segera dan semoga Seri Paduka dikurniakan kesihatan yang baik berpanjangan, diadakan selepas solat Jumaat esok.

"Semoga Allah juga melindungi negara dan Pahang daripada segala bencana, wabak, mala petaka dan huru-hara," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pada Selasa lepas, Istana Negara mengesahkan Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang dimasukkan ke Wad Diraja IJN selepas berasa kurang selesa dengan kesihatan, bagaimanapun Seri Paduka tidak dalam keadaan membimbangkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan