AM

Polis nafi jalan di kawasan penjara ditutup

08/10/2020 02:23 PM

GEORGE TOWN, 8 Okt -- Polis menafikan jalan di sekitar kawasan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini ditutup kepada lalu lintas seperti tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp susulan terdapat kluster baharu COVID-19 di penjara tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang arahan penutupan jalan di kawasan tersebut dan meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat kononnya jalan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang ditutup.

"Jalan di situ masih dibuka untuk lalu lintas seperti biasa malah polis pun tidak terima arahan penutupan jalan di kawasan tersebut," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai mesej tular berhubung penutupan jalan di kawasan itu dan meminta orang ramai menggunakan jalan alternatif jika mahu ke Hospital Pulau Pinang yang terletak berhampiran penjara tersebut.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu iaitu Penjara Reman selepas saringan mendapati tujuh orang positif COVID-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Okt.

Lelaki berusia 85 tahun itu tidak sedarkan diri dalam penjara sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan meninggal dunia manakala ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas mayatnya mendapati positif.

Berikutan itu, banduan dan petugas di penjara tersebut yang mempunyai kontak rapat dengan si mati telah diasingkan serta dikuarantin manakala semua banduan serta petugas turut menjalani ujian saringan COVID-19.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan operasi sanitasi dalam kawasan penjara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan