AM

Kerajaan negeri ketengahkan semula kebaya Perlis

29/10/2020 11:36 PM

KANGAR, 29 Okt -- Kerajaan Negeri Perlis akan mengetengahkan semula baju kebaya Perlis yang popular dipakai oleh golongan istana dan bangsawan Melayu satu ketika dahulu.

Exco Pelancongan negeri Perlis, Asmaiza Ahmad berkata baju kebaya Perlis merupakan warisan Melayu yang harus dipertahankan kerana ianya bukan hanya selesa dipakai sebaliknya melambang identiti dan  kesopanan wanita Melayu asli.

“Bentuk potongan yang tidak menampakkan bentuk badan membolehkan semua orang memakainya dan selesa dipakai baik ke tempat kerja mahupun majlis rasmi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat awal bagi memberi galakan kepada rakyat, pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat Perlis (Kemas) Perlis akan menganjurkan  bengkel jahitan  bagi melatih masyarakat teknik menjahit kebaya Perlis.

“Buat permulaan kita akan fokus kepada bengkel jahitan sebelum memberi galakan kepada orang ramai untuk memakainya,”katanya.

Asmaiza berkata kerajaan negeri juga meminta Kemas menyediakan pusat sehenti di Kangar bagi mempamerkan baju kebaya Perlis kepada pelancong dan mereka boleh membelinya di sana.

Katanya  kerajaan negeri bercadang untuk menggalakkan penjawat awam negeri memakai baju kebaya Perlis pada setiap hari Jumaat pada masa hadapan.

Sementara itu, pengusaha kebaya Perlis, Azniyah Abu Bakar, 56, berkata apa yang membezakan kebaya Perlis dengan kebaya lain adalah rekaannya yang labuh dan longgar sesuai untuk orang yang berbadan gempal dan tampak  lebih sopan.

“Keistimewaan kebaya Perlis adalah tiada tulang di bahu, tiada lisu  selain mempunyai pesak di hadapan sesuai dipakai dengan kain lipat batik atau kain pario mengikut keselesaan pemakai,”katanya.

Beliau berkata, dahulu kebaya Perlis direka menggunakan kain jenis kasarubia, namun ia sukar didapati masa kini dan diperbaharui dengan kain jenis sifon dan juga songket.

Beliau menerima banyak tempahan daripada orang-orang kenamaan termasuk menteri dan ketua-ketua jabatan di sekitar Perlis sejak mula diperkenalkan pada tahun 2006.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan