KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar disifatkan sebagai langkah terbaik membantu golongan terjejas dalam menampung perbelanjaan isi rumah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pengeluaran itu dilihat dapat membantu memulihkan kitaran ekonomi masyarakat yang terjejas dan terhimpit.
“Pada masa sama, kerajaan masih meneruskan pengeluaran i-Lestari di Akaun 2 yang dijangka tamat pada Mac tahun hadapan. Sekurang-kurangnya, mereka (pencarum) boleh mengeluarkan sehingga RM1,000 daripada Akaun 1 dan 2 KWSP dalam meringankan beban kewangan mereka akibat wabak COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Pada masa sama, katanya, FOMCA menyifatkan pembentangan Belanjawan 2021 sebagai menyeluruh meskipun kerajaan menghadapi pelbagai kekangan daripada segi kewangan.
“Bajet ini juga bukan sahaja mengurangkan bebanan rakyat tetapi pada masa ia bertujuan menggerakkan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kenyataan bersama menyatakan secara keseluruhan, belanjawan ini boleh dilihat sebagai respons kepada cabaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 dan kemerosotan ekonomi.
Presiden SAM Meenakshi Raman berkata peruntukan RM400 juta kepada semua negeri untuk perlindungan biodiversiti adalah langkah yang baik kerana ia akan membantu negeri melindungi biodiversiti dan hutan selain berharap dengan peningkatan peruntukan itu, sungai-sungai akan dilindungi dengan lebih baik sekali gus dapat mengelakkan pencemaran sehingga menyebabkan gangguan bekalan air.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader pula mengalu-alukan usaha yang diambil untuk kehidupan lebih sihat dalam kalangan rakyat termasuk membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu dan mengenakan duti eksais membabitkan semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape mulai 1 Jan 2021.
Dalam pada itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berharap golongan wanita mengambil peluang melalui peruntukan RM50 juta yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu Biznita yang bertujuan memperkasa golongan wanita dalam bidang keusahawanan.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan berkata usaha ini adalah untuk meningkatkan taraf sosiekonomi diri dan keluarga dengan menjadikan emas sebagai medium simpanan yang stabil serta diyakini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial