KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Dewan Rakyat perlu meluluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan menjalankan usaha-usaha menangani penularan pandemik COVID-19 selain memastikan kelangsungan operasi sedia ada tidak terjejas.
Ketika menegaskan perkara itu, Pengarah Belanjawan Negara Johan Mahmood Merican berkata ini penting memandangkan negara tidak mampu untuk mewujudkan risiko terhadap usaha terbabit sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
Malah, katanya, tindakan tidak meluluskan belanjawan tersebut akan turut mengundang beberapa implikasi termasuk kekangan perbelanjaan kerajaan bermula Januari 2021.
"Ia bukan sahaja (membabitkan) isu barisan hadapan menangani COVID-19 tetapi juga operasi dan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan lainnya.
"Oleh itu, adalah penting untuk Belanjawan 2021 ini diluluskan dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan usaha memerangi COVID-19 selain pemulihan ekonomi yang lancar demi kesejahteraan rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan serta pendapatan," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, Ahad malam.
Sesi pengundian Belanjawan 2021 dijangka dijalankan pada 25 Nov ini.
Selain itu Johan berkata kerajaan telah mengimbangi aspek kesihatan, kehidupan serta mata pencarian rakyat ketika merangka Belanjawan 2021.
Menurutnya, ini penting kerana penyediaan belanjawan tersebut perlu melibatkan sumber yang mencukupi untuk memastikan usaha-usaha yang dirancang tidak terjejas dan kegiatan ekonomi dapat dijalankan.
Atas dasar itu, fokus telah diberikan terhadap golongan rentan atau mudah terjejas dan pada masa sama tidak mengabaikan golongan M40 demi kelangsungan kehidupan mereka.
Beliau berkata, ini termasuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 9.0 peratus daripada 11 peratus bermula Januari 2021 untuk meningkatkan pendapatan bolehguna ahli-ahli KWSP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial