AM

PKS disaran dapatkan penandaan logo Buatan Malaysia

23/11/2020 04:57 PM

KUALA BERANG, 22 Nov -- Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran memohon logo Buatan Malaysia untuk produk yang dihasilkan bagi mendapat pengiktirafan dan kepercayaan pengguna.

Timbalan Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata logo Buatan Malaysia adalah pengiktirafan bagi menentusahkan bahawa produk yang dihasilkan adalah dibuat di Malaysia serta berkualiti.

Beliau berkata bermula April 2009 hingga Oktober 2020, KPDNHEP telah merekodkan sejumlah 1,236 permohonan pendaftaran logo Buatan Malaysia dengan jumlah unit penyimpanan stok yang dipohon untuk mendapatkan pelabelan logo sebanyak 19,816.  

"Daripada 19,816 SKU itu, sebanyak 15,951 SKU telah diluluskan untuk mendapat penandaan logo Buatan Malaysia, manakala bakinya tidak mendapat kelulusan atas beberapa faktor dan tidak menepati syarat permohonan yang ditetapkan. 

Ia antaranya membabitkan kegagalan pemohon mengesahkan produk mereka dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51 peratus bahan atau kandungan tempatan, aspek pelabelan yang tidak memenuhi piawaian, kualiti produk yang tidak memuaskan dan keselamatan produk yang diragui," katanya kepada pemberita selepas melawat projek belia tani di Kampung Sungai Ular di sini hari ini. 

Antara kategori perniagaan yang boleh memohon penandaan logo Buatan Malaysia ini ialah produk makanan dan minuman; perkhidmatan; kecantikan dan kesihatan; fesyen; aksesori dan kraf; kelengkapan rumah dan perniagaan agro. 

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata produk yang memiliki logo Buatan Malaysia dapat meningkatkan keyakinan pengguna kerana penggunaan logo ini tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada pengusaha produk dan perlu melalui prosedur permohonan yang ketat. 

"KPDNHEP juga sedang dalam proses menambah baik kriteria permohonan logo Buatan Malaysia bagi membuka peluang lebih banyak sektor industri mengaplikasikan penggunaan ini pada produk mereka termasuk memperluaskan klasifikasi produk berbanding sekarang yang hanya membenarkan produk yang menggunakan 51 peratus bahan atau kandungan tempatan sahaja.

Antara syarat permohonan ialah perlu membuktikan penggunaan 51 peratus bahan atau kandungan tempatan, produk mesti dikilangkan di Malaysia, produk dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan, syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai lesen operasi yang sah daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan