AM

Internet sebagai utiliti ketiga jadi nilai tambah kerajaan negeri, pemaju - Saifuddin

24/11/2020 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov -- Cadangan menjadikan penyediaan kesalinghubungan Internet sebagai utiliti awam ketiga akan memberi impak nilai tambah kepada kerajaan negeri dan pemaju sesuatu kawasan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata apabila Internet diangkat sebagai utiliti ketiga, isu kelewatan dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi dan capaian Internet dapat dielakkan.

Jelas beliau kelewatan penyediaan infrastruktur telekomunikasi hingga 18 bulan di sesuatu kawasan khususnya kawasan baharu adalah berikutan kesalinghubungan Internet tidak dikira sebagai utiliti dalam Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan.

“Apabila penyediaan kesalinghubungan Internet masuk dalam KM, secara langsung mempercepatkan proses pembinaan dan perancangan menyediakan kemudahan itu.

“Ini menjadi added value kepada pemaju sesuatu kawasan kerana tempat itu sudah mengambil kira kewujudan capaian Internet, manakala keuntungan kepada kerajaan negeri yang boleh menarik banyak pelaburan ke kawasan dalam negeri mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Saifuddin berkata cadangan itu dibentangkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-36 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Okt lepas. 

Perkara itu juga akan dibentang dalam mesyuarat dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada pertengahan Disember ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan