EKONOMI

SUPERMAX GANTI KLCC PROPERTY, KLCC REIT DALAM KONSTITUEN FBM KLCI

04/12/2020 01:47 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis  -- Supermax Corporation Bhd akan menggantikan sekuriti terikat KLCC Property Holdings dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC Prop and REIT) sebagai konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Bursa Malaysia dan FTSE Russell, dalam kenyataan bersama hari ini, berkata perubahan itu dibuat berikutan semakan separuh tahun FTSE Bursa Malaysia Index Series.

Menurut kenyataan itu, sekuriti terikat KLCC Prop and REIT akan dimasukkan dalam senarai simpanan FTSE Bursa Malaysia KLCI, terdiri daripada lima syarikat bukan konstituen daripada indeks yang mempunyai kedudukan tertinggi dari segi permodalan pasaran, termasuk Kossan Rubber Industries Bhd, QL Resources Bhd, Mr DIY Group (M) Bhd dan Westports Holdings Bhd.

“Senarai simpanan itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dikeluarkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI mengikut peraturan indeks dalam tempoh sehingga semakan separuh tahun akan datang,” katanya.

Katanya KLCC Prop and REIT dan Mr DIY Group telah dimasukkan dalam FTSE Bursa Malaysia Mid 70 Index bersama dengan IATA IMS Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Heineken Malaysia Bhd, Unisem (M) Bhd, UWC Bhd dan YTL Power International Bhd.

“Sementara itu, Aeon Co (M) Bhd, Eco World International Bhd, Hengyuan Refining Company Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd, Sunway Construction Group Bhd, Supermax Corp dan Velesto Energy Bhd akan dikeluarkan daripada indeks itu,” katanya.

Katanya Inari Amertron Bhd dan Petronas Dagangan Bhd telah dimasukkan dalam FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah Index.

Bagaimanapun, katanya FGV Holdings Bhd dan Serba Dinamik Holdings Bhd akan dikeluarkan daripada FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah Index.

Menurut kenyataan itu, semua perubahan konstituen akan berkuat kuasa pada 21 Dis, dan semakan seterusnya adalah pada Jun 2021.

Siri indeks akan disemak setiap separuh tahun oleh FTSE Russell dan Bursa Malaysia mengikut peraturan indeks.

Sebagai sebahagian daripada FTSE Bursa Malaysia Index Series, FTSE Bursa Malaysia KLCI digunakan dengan meluas oleh pelabur sebagai penanda aras utama untuk pasaran Malaysia, termasuk derivatif melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI).

“Penanda aras itu turut dijejaki oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana pasaran diniagakan,” katanya. 

Maklumat lanjut mengenai semakan FTSE Bursa Malaysia Index Series, termasuk pertambahan, pembatalan dan peraturan, boleh didapati di https://www.ftserussell.com/products/indices/bursa-malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan