BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
IPOH, 7 Dis -- Jawatan adalah satu tanggungjawab dan bukan untuk perebutan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya, antara nama yang diuar-uar sebagai bakal Menteri Besar Perak yang baharu, hari ini.
ADUN UMNO itu juga berkata semua pihak perlu kembali kepada perkara asas iaitu berjuang untuk rakyat dalam apa juga kapasiti yang ada.
"Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya untuk berpegang kepada konsep reda, usaha dan tawakal kepada Allah. Kita wajib percaya kepada qada dan qadar Allah, segalanya telah tertulis… jawatan adalah pertanggungjawaban bukan untuk perebutan.
"Kita jaga petak kita masing-masing, if we can uphold to all this (jika kita mempertahankan semua ini) insya-Allah reda Allah untuk kita, negeri dan negara yang kita cintai ini," katanya menerusi laman rasmi Facebook beliau.
Shahrul Zaman turut menyertakan keratan berita yang melaporkan beliau antara yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Perak yang baharu selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Saarani Mohamad dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir.
Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lalu setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lepas.
Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial